Thursday, March 22, 2012

Entry 14: Asal Usul Nama Bandar Sibu, Sarawak





Saya berasal dari bandar Sibu, Sarawak. Sekadar untuk berkongsi tentang tempat saya membesar. Saya percaya setiap tempat mempunyai nama dan asal usul namanya. Saya amat bangga dengan bandar Sibu kerana keamanan dan kerajinan masyarakat bekerja. Walau bagaimanapun, saya tetap mencintai Sibu.
Bandar Sibu mendapat nama daripada sejenis rambutan, buah sibau dalam bahasa Iban. Oleh sebab penduduk bandar tidak dapat menyebut perkataan Sibau dengan baik, maka Sibau bertukar menjadi Sibu. Sebelum 1872, Sibu dikenali sebagai Maling yang merujuk Tanjung Maling di lengkuk Sungai Rajang.
Sibu yang mempunyai 270,000 jiwa dengan majoriti Cina Foochow mulai bertapak di Sungai Merah, tidak jauh dari bandar itu. Wong Nai Siong memeterai perjanjian dengan pemerintahan Brooke yang menyaksikan penghijrahan 1,000 orang Foochow termasuk 300 kanak-kanak. Mereka dibawa dari Fuzhou, China oleh Wong Nai Siong dengan rombongan pertama 72 orang menjejakkan kaki di situ pada 28 Januari 1901. Dari 1909 hingga 1919, 4,000 lagi imigran Foochow mendarat. Kini, kaum Cina, terutama Foochow menguasai segalanya di Sibu, terutama ekonomi.
Persatuan Cina di Sibu ingin menukarkan nama Sibu dalam bahasa Cina. Hal ini adalah kerana nama perkataan kedua Sibu membawa maksud bomoh dan nama Sibu hampir sama dengan nama Cebu di Filipina. Namun, tidak demikian bagi masyarakat Bumiputera di Sibu. Mereka tidak bersetuju nama Sibu ditukar kepada nama lain. Baru-baru ini Gabungan Persatuan Cina (UCA) Bahagian Sibu berusaha mencari nama dalam bahasa Cina dan akan menganjurkan pertandingan bagi tujuan itu. Presiden persatuan itu, Datuk Lau Nai Hoh, dilaporkan berkata hadiah menarik ditawarkan kepada individu yang dapat memberikan nama yang sesuai dalam bahasa Cina.
Mengikut beliau, Sibu kini dikenali dengan nama Shi Wu dalam bahasa Cina dan tidak begitu sesuai kerana membawa konotasi negatif. Wu bermaksud ahli sihir. Katanya, persatuan bersetuju menganjurkan pertandingan selepas membincangkan perkara itu dengan Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam negeri, Datuk Sri Wong Soon Koh, dan beberapa pemimpin lain. Persatuan itu mahu orang ramai turut serta memberikan nama yang sesuai dan mempunyai makna baik.

No comments:

Post a Comment